Sunday, June 28, 2009

SEMUA PASTI AKAN DIJEMPUT ALLAH


MATI adalah kejadian yang pasti dihadapi setiap insan. Ia tidak dapat dihindarkan dengan apa cara sekalipun. Insan yang tidak menghiraukan langsung persoalan mati sedangkan mereka pasti menghadapinya, diumpamakan seorang musafir yang memasuki satu daerah baru dalam keadaan gelap gelita. Sudah pasti dia tidak dapat melangkah dan tidak tahu arah hendak dituju.

Begitulah keadaannya roh manusia yang sudah mati yang tidak pernah mengingati mati, tidak pernah mempelajari masalah mati dan tidak mempunyai kepercayaan atau keyakinan mengenai persoalan mati.

Bagi menghindarkan keadaan sedemikian, Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengingati mati dan membuat persediaan bagi menghadapinya. Kita juga dikehendaki mengetahui hakikat mati agar dapat menempuh saat kematian dengan penuh pengertian dan kesabaran.

Satu persoalan yang mungkin timbul di fikiran kita apabila membicarakan soal mati ialah mengapakah Islam menggalakkan umatnya mengingati mati sedangkan ia perkara yang tidak menarik atau tidak menggembirakan. Mati adalah sesuatu yang amat ngeri dan meremamangkan bulu roma.

Bagi memecah persoalan berkenaan renungkan dua hadis berikut:

Berkata Ibnu Omar r.a: Pada suatu hari aku datang berjumpa Rasulullah s.a.w yang sedang berada di tengah kalangan sahabat yang terkemuka. Lalu berdirilah seorang sahabat daripada Ansar bertanya Rasulullah dengan berkata:

“Ya Rasulullah! Siapakah yang paling pintar dan siapa pula yang paling cerdas akalnya?”

Rasulullah menjawab: “Yang paling cerdas dan yang paling pintar ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan yang paling banyak bekal menghadapi mati. Merekalah yang paling pintar dan yang paling cerdas kerana mereka mendapat kemuliaan di dunia dan kehormatan di akhirat.”

Dalam hadis lain Rasulullah bersabda: “Perbanyaklah mengingati mati.” (Hadis Riwayat: At Thabrani)

Namun, bukan bermakna dengan mengingati mati kita meminta supaya lekas mati.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Hakim pula, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik manusia menurut pandangan Islam ialah orang yang panjang umur dan baik pekerjaannya. Sejahat-jahat manusia pula ialah orang yang panjang umurnya tetapi jahat pekerjaannya.”

Dapatlah dikatakan bahawa orang yang mengingati hakikat mati iaitu yang mempunyai kepercayaan mengenai masalah mati bererti dia mengerti akan hakikat hidup, sehingga ia dalam hidup ini mempunyai kepercayaan dan keyakinan pula.
Orang yang mengingati mati dengan pengertian dan kesedaran serta keyakinan dan kepercayaan tidak akan berasa derita dan sengsara.

Sebaliknya, orang yang tidak pernah memikir dan mempelajari masalah mati dalam hidupnya dan tidak percaya kepada Tuhan, ia akan menghadapi matinya dalam keadaan derita dan sengsara.

Walaupun ketika hidupnya dia sihat, kaya-raya dan hidup mewah, tetapi pada saat matinya dia akan menghadapi penderitaan yang paling hebat. Penderitaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata dan tidak dapat dikhayalkan dengan fikiran.

Bagi orang yang sering mengingati mati dan mempunyai keyakinan dan kepercayaan tertentu mengenai hidup dan mati, sekali pun tetap ada kekhuatiran serta ketakutan, kekhuatiran itu ada batasnya, iaitu kekhuatiran dan ketakutan yang masih mengandungi harapan tertentu.

Mereka akan menghadapi maut bukan dalam keadaan putus harapan, tetapi dengan harapan amat besar, kukuh dan teguh.

Mengingati mati bukan perbuatan yang menakutkan, sebaliknya boleh menghilangkan segala ketakutan.

Orang yang sedar dia akan mati, sudah pasti bersiap sedia untuk menghadapi detik itu. Mereka tidak akan bersifat malas untuk menempuh hidupnya, sebaliknya lebih bergiat untuk menempuh hidupnya bagi mencapai keredaan Allah sama ada di dunia atau di akhirat.

Rasulullah dan sahabat baginda adalah orang yang paling banyak jasa terhadap bangsa dan tanah air serta paling hebat perjuangan dan jihadnya dalam hidup. Tetapi mereka tidak lupa untuk mengingati mati, malah mereka adalah orang yang paling banyak mengingati mati.

Dapat disimpulkan bahawa orang yang tidak mengingati mati dalam kerugian kerana mati akan mengunjungi sesiapa saja dan ia tidak mengenal pangkat atau darjat, kaya atau miskin, senang atau susah, di darat, laut atau udara. Keadaan ini jelas dinyatakan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud:

“Di mana saja kamu berada pasti mati mendatangi kamu sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.” (Surah An Nisa’: Ayat 78)

Selain itu setiap insan Islam yang bakal menempuh kematian wajib mempercayai dan meyakini rukun iman:

1. Percaya kepada Allah; 2. Percaya kepada malaikat; 3. Percaya rasul; 4. Percaya kitab Allah; 5. percaya hari akhirat; 6. Percaya Qada dan Qadar. Antara enam pokok kepercayaan dalam rukun iman, dua yang paling penting ialah: Percaya kepada Allah dan percaya hari akhirat. Kedua-dua rukun itu disebut berulang-ulang sampai berpuluh kali dalam al-Quran dan hadis Rasulullah.

Sebagai contoh, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah berlaku baik terhadap tetangganya.

Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah menghormati tetamunya.

Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang baik atau diam.

Ungkapan berkenaan disebut Allah dan Rasul-Nya dalam al-Quran dan hadis berulang-ulang agar ia difahami dan diyakini umatnya. Sesungguhnya kehidupan akhirat amat penting malah jauh lebih penting daripada kehidupan dunia.

Kehidupan akhirat bukan sahaja lebih penting, malah lebih besar, lebih lama (kekal), lebih baik daripada kehidupan duniawi. Kehidupan dunia pula dianggap Allah sebagai kehidupan kecil, tidak penting, satu cara hidup yang rendah, sempit dan terbatas.

Selain itu penghidupan dunia hanya permainan. Ini dijelaskan firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah kehidupan di dunia ini kecuali hanya sebagai permainan belaka, sedang kehidupan akhirat lebih baik bagi orang bertakwa. Apakah kamu tidak mahu memikirkannya?” (Surah Al-An’am: Ayat 32)

Amatlah rugi jika kita hidup senang, bahagia dan bergembira di dunia tetapi dalam kehidupan di akhirat yang kekal dan abadi, hidup kita susah dan sengsara dalam neraka buat selama-lamanya. Sebaik-baiknya, biarlah kita hidup senang di dunia dan bahagia pula di akhirat.

No comments:

Post a Comment